Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

INOVASI KESIHATAN DAN PENYELIDIKAN DIPAMERKAN DALAM RERUAI PERUTUSAN NAIB CANSELOR USM 2026

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Februari 2026 – Reruai yang dipamerkan sempena Majlis Perutusan Naib Canselor 2026 menjadi platform strategik dalam mengetengahkan keupayaan, pencapaian serta inisiatif berimpak tinggi oleh pelbagai entiti di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), sekali gus memperkukuh agenda kecemerlangan dan impak global universiti.

1000223257

1000223259

Reruai yang dibuka di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM ini menghimpunkan enam (6) pusat tanggungjawab (PTJ) iaitu Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Jawatankuasa Kelestarian Kampus Kesihatan, Unit Korporat serta Jabatan Ortopedik Hospital Pakar USM (HPUSM). Setiap reruai mempamerkan inisiatif strategik, pencapaian semasa dan perancangan masa hadapan yang selari dengan hala tuju universiti.

1000223261

1000223263

Sesi lawatan reruai oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Abdul Rahman Mohamed dan barisan pengurusan Kampus Kesihatan turut diserikan dengan penyerahan replika cek bernilai RM48,700 oleh Pengarah Urusan Polylab Biotech Sdn. Bhd. sebagai simbol sokongan industri terhadap agenda penyelidikan dan inovasi universiti. Selain itu, reruai turut diserlahkan dengan pameran perkhidmatan Pembedahan Robotik Total Knee Replacement (TKR) menggunakan ROSA® Knee System iaitu sistem penggantian lutut berasaskan robotik yang direka oleh pakar bedah bagi memastikan rawatan tisu lembut serta pemotongan tulang yang lebih tepat, sekali gus membantu pemulihan fungsi lutut pesakit secara optimum.

1000223265

1000223267

Kejayaan pameran ini membuktikan kesepaduan usaha warga universiti dalam merealisasikan agenda kecemerlangan dan impak global, selaras dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 serta aspirasi transformasi pendidikan tinggi negara.

1000223271

1000223269

Teks: Dr. Ahmad Nazrul Alif Yahya / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 225