INOVASI P-LOCK BANTU KANAK-KANAK TERUSKAN LATIHAN REHABILITASI DI RUMAH
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Ogos 2026 – Inovasi alat sokongan anggota bawah, P-LOCK, dibangunkan bagi membantu kanak-kanak yang menjalani program rehabilitasi meneruskan latihan di rumah secara lebih selamat, tersusun dan konsisten dengan penglibatan ibu bapa atau penjaga.

Inovasi berkenaan dibangunkan oleh Kumpulan Rehab Shine, Jabatan Perubatan Pemulihan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Hospital Pakar USM (HPUSM), dengan sokongan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) menerusi Program MyIS Komuniti Fasa 2.

P-LOCK direka bagi membantu kanak-kanak mendapatkan posisi anggota bawah yang baik serta menjalani latihan berdiri, regangan dan pengukuhan otot dengan lebih selamat dan berstruktur.

Pembangunan inovasi tersebut tercetus daripada keperluan sebenar yang dikenal pasti oleh pasukan rehabilitasi, khususnya kesukaran sesetengah keluarga mendapatkan alat sokongan yang sesuai dan praktikal bagi membolehkan latihan rehabilitasi diteruskan secara konsisten di rumah.

Pembangunan P-LOCK melalui beberapa peringkat termasuk penghasilan prototaip, percubaan penggunaan serta penambahbaikan berdasarkan maklum balas pasukan rehabilitasi, pesakit, ibu bapa dan penjaga.

Pendekatan multidisiplin turut diterapkan melalui penglibatan pakar perubatan pemulihan, jurupulih anggota, jurupulih cara kerja, pembantu kesihatan serta juruteknik prostetik dan ortotik dalam Kumpulan Rehab Shine.
Sokongan geran YIM menerusi Program MyIS Komuniti Fasa 2 membolehkan inovasi tersebut dikembangkan daripada peringkat pembangunan kepada penggunaan sebenar dalam komuniti, sekali gus memberi peluang kepada pasukan untuk menilai aspek praktikal penggunaannya dalam persekitaran sebenar.

Majlis Penyerahan Alat Inovasi P-LOCK kepada penerima terpilih telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), PPSP USM, Profesor Dr. Asrenee Ab Razak, di Dewan Puteri Saadong, Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, pada 19 Ogos lalu.
Pasukan P-LOCK berharap maklum balas daripada kanak-kanak, ibu bapa dan penjaga dapat membantu proses penilaian serta penambahbaikan inovasi pada masa hadapan, selain memperluas manfaatnya kepada lebih ramai kanak-kanak yang memerlukan.
Sumber Laporan & Foto: Rohayu Hamzah
- Created on .
- Hits: 59