USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Oktober 2022 – Jabatan Otorinolaringologi, Surgeri Kepala dan Leher (ORL-HNS), Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) dan pasukan Program Libatsama Komuniti USM - Merican telah terlibat dalam Program Saringan dan Pemeriksaan Kesihatan Pakar ORL-HNS di perkarangan Masjid Kampung Menerong, Ajil, Hulu Terengganu pada 1 Oktober lalu.


Program anjuran Majlis Getah Malaysia (MRC) bersama komuniti Kampung Menerong diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya perkhidmatan saringan dan pemeriksaan pakar ORL-HNS secara percuma berkait dengan masalah pendengaran, resdung, jangkitan sinus, ketumbuhan kecil, telinga berair atau bernanah dan sebagainya.

Di samping itu, turut diadakan ceramah kesihatan, ziarah medic, sukan rakyat, pertandingan melukis dan mewarna, pertandingan memasak serta cabutan bertuah.

Program sebegini dilihat sebagai medium untuk pasukan USM menyumbang tenaga dan kepakaran kepada komuniti di samping memperkenalkan perkhidmatan yang terdapat di Hospital USM dan menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi lain.
Sumber Laporan /Foto: Che Ismail Che Lah