JAMBATAN SENYUM MALAYSIA – INDONESIA FOKUS TINGKAT KESEDARAN KESIHATAN GIGI PELAJAR PPKI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 November 2024 – Bagi meningkatkan kesedaran kesihatan pergigian dalam kalangan kanak-kanak istimewa Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) melalui pendidikan penjagaan mulut, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama pelajar elektif dari Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY), Indonesia telah menganjurkan Program Jambatan Senyum Malaysia-Indonesia: Program Komuniti Pergigian di Sekolah Kebangsaan Demit 2, Kota Bharu, pada 14 November lalu.
Program ini memfokuskan kanak-kanak istimewa di bawah PPKI dengan matlamat utama meningkatkan kesedaran tentang penjagaan kesihatan pergigian dan kesejahteraan emosi mereka.
Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program berlangsung termasuk sesi pendidikan interaktif mengenai penjagaan kesihatan mulut, demonstrasi memberus gigi yang betul, mewarna dan permainan interaktif. Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga memberi manfaat kepada kanak-kanak istimewa dari segi pembelajaran dan perkembangan sosial. Selain itu, penjaga dan guru-guru PPKI turut terlibat dalam sesi perkongsian maklumat kesihatan pergigian.
Program ini diharap memberi impak yang signifikan kepada pelbagai pihak selain memperkukuh hubungan antara institusi Malaysia dan Indonesia serta memupuk nilai kemanusiaan dan empati dalam kalangan peserta.
Sumber Laporan & Foto: Profesor Madya Ts. Dr. Wan Nazatul Shima Shahidan
- Created on .
- Hits: 114