JAWATANKUASA KELESTARIAN PPSG USM KUMPUL 817 KILOGRAM SAMPAH MELALUI ‘PLOGGING’ PANTAI IRAMA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Ogos 2026 – Sebanyak 817 kilogram sampah berjaya dikumpul dan diasingkan menerusi Program ‘Plogging’ Pantai Irama anjuran Jawatankuasa Kelestarian Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Geng Plastik Ija (GPI) Kota Bharu pada 22 Ogos lalu.


Program yang melibatkan lebih 80 peserta terdiri daripada staf dan pelajar pascasiswazah PPSG serta sukarelawan daripada rakan strategik itu bertujuan mengumpul dan mengasingkan sisa plastik serta sampah awam di sekitar kawasan Pantai Irama, Bachok.


Aktiviti yang menggabungkan riadah dan kutipan sampah itu bertujuan memupuk kesedaran alam sekitar serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga PPSG, di samping mengumpul data asas berat sisa plastik bagi tujuan kesedaran dan audit sisa komuniti.

Selain membantu membersihkan kawasan pesisiran pantai, program yang turut mendapat kerjasama daripada Dental Postgraduate Secretariat (DPS) PPSG dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Kelantan Jajahan Bachok, turut memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kesan pencemaran sisa pepejal terhadap ekosistem marin.


Program ini mencerminkan komitmen PPSG USM dalam menggalakkan penglibatan warga kampus bersama komuniti setempat menerusi aktiviti kelestarian serta menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Zainab Mat Yudin
- Created on .
- Hits: 58