ALOR SETAR, KEDAH, 4 September 2022 – Bagi menyemarakkan lagi Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) yang diadakan di perkarangan Stadium Alor Setar di sini, pasukan Program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kekuatan sebuah bas yang dijadikan klinik bergerak digerakkan ke lokasi program bagi memberikan khidmat kesihatan.

Dalam program yang berlangsung selama tiga hari bermula 2 September lalu dan melabuhkan tirainya hari ini, pasukan KRIS Hospital USM yang terdiri daripada empat (4) orang Pegawai Perubatan, dua (2) orang Pegawai Optometris, empat (4) orang Penolong Pegawai Perubatan dan tujuh (7) orang staf sokongan berjaya memberikan khidmat kaunseling kesihatan, perawatan kesihatan dan pemeriksaan mata secara percuma kepada lebih 250 orang pengunjung yang hadir.


Selain itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian turut meluangkan masa melawat klinik bergerak Hospital USM. Turut hadir semasa program berlangsung ialah Timbalan Pengarah Klinikal Hospital USM yang juga Pengerusi Program KRIS Hospital USM, Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria; Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Tata Kelola, Bahagian Governan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Ahmad Muzaffar Ahmad Bakri dan Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Tata Kelola, Bahagian Governan IPTA, Hanie Othman.