JERAYAWARA KESEDARAN CP CETUS INSPIRASI DAN HARAPAN BUAT KELUARGA ANAK ISTIMEWA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Mei 2025 – Hampir 80 peserta termasuk kanak-kanak istimewa dan ibu bapa mereka menyertai program Jerayawara Kesedaran Cerebral Palsy (CP) yang berlangsung di Dewan Peperiksaan, Kompleks Pentadbiran Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) pada 3 Mei lalu.
Program anjuran Jabatan Pediatrik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dengan kerjasama Unit Perubatan Pemulihan, Kelab Pediatrik HPUSM dan Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS) itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai CP serta memperkasakan peranan ibu bapa dalam penjagaan dan terapi anak-anak mereka.
Antara pengisian utama program ini ialah ceramah kesedaran oleh Presiden GAPS, Rafidah@Rafizah Ahmad yang menjelaskan tentang definisi CP, jenis-jenisnya, cabaran yang dihadapi oleh pesakit serta pentingnya intervensi awal.
Program turut diisi dengan bengkel interaktif PRACTIVE (Practical dan Active) yang memberi peluang kepada peserta mencuba kit terapi kos rendah rekaan GAPS.
Pelbagai aktiviti lain termasuk senaman regangan, teknik pemposisian, latihan aerobik dan pengukuhan otot turut diadakan dan disertai oleh ibu bapa yang teruja untuk mempraktikkan kaedah tersebut di rumah.
Sesi soal jawab dan perkongsian pengalaman menambahkan lagi nilai program apabila ibu bapa dan anak-anak CP tampil berkongsi kisah serta cabaran masing-masing. Ia sekali gus memberi inspirasi kepada peserta lain untuk terus tabah dan positif dalam mendidik anak-anak istimewa.
Program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform sokongan dan pendidikan yang berterusan kepada komuniti CP.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Surini Yusoff
- Created on .
- Hits: 76