JURURAWAT KITA, MASA HADAPAN KITA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Mei 2023 - Sempena Hari Jururawat Sedunia 2023 yang disambut semalam, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) juga tidak terkecuali meraikannya secara sederhana tetapi penuh semangat setiakawan dan kekeluargaan.
Hari Jururawat Sedunia disambut pada 12 Mei setiap tahun sebagai tanda menghargai sumbangan jururawat dalam membantu perawatan pesakit. Jururawat merupakan watak penting dalam proses perawatan memandangkan mereka berada paling hampir dan terlibat secara langsung dalam keseluruhan proses perawatan daripada pesakit masuk sehingga keluar wad.
Tema sambutan Hari Jururawat Sedunia tahun ini iaitu 'Our Nurses, Our Future' merupakan kempen global yang menetapkan cara kejururawatan pada masa hadapan harus menangani cabaran serta meningkatkan kesihatan global untuk kebaikan semua. Ia juga sinonim dengan harapan masyarakat serata dunia untuk memperoleh peluang menikmati kemudahan kesihatan secara sama rata.
Barisan Pengurusan Jururawat mewakili Pengurusan Hospital USM turun ke wad-wad dan zon perawatan pesakit menyantuni para jururawat bertugas sambil mengagihkan kek sebagai simbolik penghargaan kepada para jururawat yang bertugas semalam. Riak gembira terpancar di wajah mereka tambahan pula masih lagi dalam suasana Aidilfitri.
- Created on .
- Hits: 186