Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KAMPUS KESIHATAN USM DAN TABUNG HAJI KELANTAN TEROKA KERJASAMA STRATEGIK PERKUKUH EKOSISTEM SOSIAL UMMAH

KOTA BHARU, KELANTAN, 9 Disember 2025 – Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail bersama pegawai-pegawai kanan Kampus Kesihatan mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) negeri Kelantan di sini, hari ini.

1000206119

Kunjungan tersebut bertujuan membincangkan potensi kerjasama strategik antara kedua-dua institusi, khususnya dalam pemerkasaan ekosistem zakat, wakaf, infaq serta pelaksanaan program pembangunan komuniti dan sosial ummah yang memberi impak langsung kepada masyarakat khususnya mahasiswa USM serta pesakit HPUSM dalam kalangan keluarga miskin dan berpendapatan rendah.

1000206121

1000206123

Menurut Shaiful Bahari, kerjasama dengan agensi berperanan besar dalam pengurusan dana ummah seperti TH merupakan antara pendekatan penting dalam memastikan manfaat penjanaan dana Islam dapat diperluas kepada golongan yang memerlukan.

“USM melalui Pejabat Zakat, Wakaf dan Infaq (ZAWAIN) sentiasa komited memperkukuh jaringan kerjasama dengan rakan strategik bagi meluaskan capaian dan keberkesanan program pembangunan komuniti.

1000206125

“Kami berharap pertemuan ini menjadi pemangkin kepada gerak kerja kolaboratif yang lebih terancang dan mampan,” katanya.

1000206127

Delegasi USM turut diberi taklimat ringkas oleh pihak pengurusan TH negeri Kelantan yang diketuai oleh Pengarah Negeri, Mohamad Rosli Mustapai, yang turut menyatakan kesediaan untuk meneroka pelbagai inisiatif bersama termasuk program pendidikan, kesihatan, kebajikan masyarakat dan pengurusan dana Islam yang inovatif demi manfaat ummah.

1000206129

Pertemuan tersebut juga membuka ruang kepada perbincangan jangka panjang dalam usaha menyokong agenda tanggungjawab sosial kedua-dua pihak, sejajar dengan misi memperkukuh kesejahteraan komuniti serta pembangunan insan secara holistik.

1000206117

Turut hadir ialah Pengurus TH negeri Kelantan, Azrisham Mahmad; Pegawai Tadbir Pejabat ZAWAIN Kampus Kesihatan USM, Asheef Barkhia Yahya; pegawai-pegawai kanan Kampus Kesihatan dan pegawai-pegawai TH negeri Kelantan.

Teks & Foto: Amyrulhan Azhari

  • Created on .
  • Hits: 187