Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KARNIVAL KESIHATAN ORL-HNS HPUSM 2026 TINGKAT KESEDARAN DAN PENGESANAN AWAL PENYAKIT

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Ogos 2026 – Usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit telinga, hidung dan tekak (ENT), kanser kepala dan leher serta penyakit tidak berjangkit melalui saringan kesihatan dan pendidikan kesihatan menjadi fokus utama penganjuran Karnival Kesihatan ORL-HNS HPUSM 2026 di Sekolah Kebangsaan Telaga Ara, Gunung, Bachok pada 15 Ogos lalu.

Karnival anjuran Jabatan Otorinolaringologi-Pembedahan Kepala dan Leher (ORL-HNS), Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) itu turut menyediakan pemeriksaan kesihatan kepada golongan berisiko termasuk kanak-kanak, remaja dan dewasa, selain memberikan pendedahan mengenai tanda serta simptom awal penyakit berkaitan.

Pelaksanaan karnival ini turut melibatkan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi termasuk USM-Merican Community Outreach Committee, Jabatan Perubatan Masyarakat, Jabatan Pediatrik, Jabatan Anatomi, Jabatan Patologi, Klinik Kesihatan dan MERCY Malaysia.

Melalui aktiviti saringan, ceramah pendidikan, pameran kesihatan dan lawatan komuniti menerusi inisiatif ‘Doktor Masuk Kampung’, penduduk setempat berpeluang mendapatkan maklumat serta pemeriksaan awal berkaitan penyakit ENT, kanser kepala dan leher serta penyakit tidak berjangkit seperti hipertensi dan diabetes.

Karnival tersebut turut memberi penekanan kepada pendidikan kesihatan dalam kalangan pelajar dan masyarakat setempat bagi meningkatkan kefahaman mengenai tanda dan simptom penyakit ENT dalam kalangan kanak-kanak serta kanser kepala dan leher dalam kalangan orang dewasa.

Pendedahan terhadap tanda dan simptom awal penyakit penting bagi membantu masyarakat mendapatkan pemeriksaan dan rawatan pada peringkat awal, sekali gus mengurangkan risiko komplikasi serta menyokong peningkatan kualiti hidup.

Selain memberi manfaat kepada komuniti, penganjuran karnival berkenaan turut menyediakan platform pembelajaran berasaskan komuniti kepada staf akademik, pegawai perubatan, pelajar dan petugas kesihatan untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan khidmat sosial.

Penganjuran karnival ini turut memperluas jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi, penyedia perkhidmatan kesihatan dan komuniti dalam usaha mewujudkan pendekatan penjagaan kesihatan yang lebih inklusif dan berterusan.

Melalui pendekatan berasaskan komuniti ini, USM dan HPUSM terus memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran kesihatan awam serta menggalakkan masyarakat mengamalkan penjagaan kesihatan secara lebih proaktif.

Sumber Laporan & Foto: Profesor Dr. Norhafiza Mat Lazim

  • Created on .
  • Hits: 77