KEBERSAMAAN DALAM MENYEMARAKKAN SAMBUTAN KEMERDEKAAN
KOTA BHARU, KELANTAN, 31 Ogos 2022 – Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini tidak ketinggalan mengikuti acara perbarisan dan perarakan Sambutan Hari Kebangsaan ke-65 di Stadium Mini, Majlis Daerah Ketereh bersama-sama 60 kontinjen pelbagai agensi lain yang terlibat.

Seramai 35 orang staf Hospital USM yang diketuai oleh Mohd Asmawi Omar menyertai perbarisan itu.

Sebahagian pengunjung yang hadir bersama keluarga seawal jam 7.00 pagi dilihat turut mengibarkan Jalur Gemilang selain mengambil peluang dan ruang bersama-sama menghayati erti sebenar kemerdekaan serta menanam semangat patriotisme cintakan tanah air dalam diri masing-masing.

Bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, rakyat seharusnya dapat hidup secara aman damai, bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran setelah mengharungi cabaran yang sangat genting sebelum ini berhadapan pandemik COVID-19 supaya dapat mengembalikan kehidupan seperti sedia kala.

Dengan kekuatan dan kesepaduan yang dicapai secara bersama, ianya menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan pada kali ini.
Sambutan Kemerdekaan 2022 Peringkat Negeri Kelantan telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato' Bentara Kanan, Ustaz Dato' Haji Ahmad Yakob.
- Created on .
- Hits: 122