KELAS MASAKAN AMAL USAHA PERLUAS PERANAN TABUNG KEBAJIKAN PESAKIT HPUSM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Jun 2025 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) sentiasa komited menyediakan rawatan terbaik kepada pesakit. Namun begitu, masih terdapat kekangan dalam kalangan mereka untuk mendapatkan rawatan khususnya dari segi pembiayaan kewangan.
Menyedari hakikat itu, Unit Kerja Sosial Perubatan HPUSM mengambil insiatif menganjurkan program ‘Kelas Masakan Amal’ bersama pempengaruh media sosial popular, Abe Wae dari AS Kitchen untuk mengumpul dana Tabung Kebajikan Pesakit bagi membantu pesakit yang kurang berkemampuan meneruskan rawatan di HPUSM.
Program ini juga bertujuan memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari kemahiran memasak selain meningkatkan kesedaran tentang aktiviti kebajikan dan keperluan Tabung Kebajikan Pesakit, HPUSM.
Program yang berlangsung di Rumah Ronald McDonald (RRM), HPUSM ini dilihat memberi nilai tambah kepada peserta selain menyemai semangat prihatin dan amalan menyumbang dalam kalangan masyarakat.
Program selama tiga (3) jam bermula jam 9.00 pagi itu mempersembahkan tiga (3) resipi masakan kampung kegemaran ramai iaitu Sup Komunis Ayam Kampung, Udang Goreng Cili Kering dan Ayam Kampung Cili Santan.
Kelas Masakan Amal ini turut mendapat perhatian seorang pesakit lumpuh yang menjalani rawatan susulan di HPUSM, Nor Adawiyah Awang Noh, 17 tahun.
Nor Adawiyah sebelum ini terbabit dalam kemalangan ngeri sejak dua (2) tahun lalu hingga menyebabkan kerosakan saraf yang serius. Kini beliau hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda dan terpaksa berulang-alik dari Kuala Krai ke HPUSM setiap bulan bagi meneruskan rawatan.
Inisiatif penganjuran program seperti ini menunjukkan keprihatinan berterusan HPUSM dalam membantu pesakit yang kurang berkemampuan, sekali gus menggalakkan komuniti untuk turut serta menyumbang dalam bentuk yang lebih bermakna.
Turut hadir memeriahkan program ialah Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani dan Pengurus RRM HPUSM, Nurul Wahida Harun.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 61