Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KEM KESIHATAN ORL-HNS 2024: KOMUNITI POS BROOKE SAMBUT BAIK USAHA USM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 September 2024 –Bersempena Hari Kanser Kepala dan Leher Sedunia serta Hari Bumi Sedunia, Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher (ORL-HNS), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif mengadakan Kem Kesihatan ORL-HNS di Sekolah Kebangsaan Pos Brooke, Gua Musang, pada 11 September lalu.

IMG 20240913 WA0012

IMG 20240913 WA0007

Program yang diketuai oleh Pakar dan Pensyarah Perubatan Jabatan ORL- HNS, Profesor Madya Dr. Norhafiza Mat Lazim itu bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan serta kesedaran yang komprehensif mengenai penyakit telinga, hidung, tekak dan kanser kepala kepada komuniti setempat.

IMG 20240913 WA0014

Selain itu, saringan kesihatan telinga, hidung, tekak, kepala dan leher turut diadakan bagi membantu mengesan penyakit-penyakit berkaitan dan klasifikasi penyakit seterusnya merancang perawatan segera ataupun susulan.

IMG 20240913 WA0006

IMG 20240913 WA0008

Antara aktiviti lain yang turut diadakan ialah senamrobik bersama murid-murid, guru serta penduduk setempat, ceramah berkait penyakit radang tonsil, tekak dan pembengkakan kelenjar di leher, ceramah tentang penyakit radang telinga, resdung, ketumbuhan pangkal hidung dan rongga mulut, pameran spesimen organ manusia yang telah diawet oleh Jabatan Anatomi dan Jabatan Patologi di samping saringan kesihatan kepada para pelajar dan juga penduduk setempat oleh pasukan ORL-HNS dan 'USM-Merican Community Outreach Committee'.

IMG 20240913 WA0009

IMG 20240913 WA0010

Melalui program ini juga, lapan (8) buah rumah yang terpilih di Kampung Sangwai A dan Kampung Sangwai B di Pos Brooke serta Kampung Rek Rek dan Kampung Layer di Pos Hendrop turut dilawati untuk melakukan pemeriksaan kesihatan kepada penghuninya dan memberikan ubat-ubat yang bersesuaian selain turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas.

IMG 20240913 WA0013

Program yang disertai 42 orang staf terdiri daripada Pakar Perubatan, Pegawai Perubatan, Jururawat, Penolong Pegawai Sains dan Pembantu Perawatan Kesihatan ini turut mendapat kerjasama daripada beberapa jabatan di PPSP USM, Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, Klinik Kesihatan Pos Brooke, Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan serta MERCY Malaysia.

Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood / Foto: Sekretariat Kem Kesihatan ORL- HNS

  • Created on .
  • Hits: 298