Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KEM STEM BIOKIMIA DAN DNA FORENSIK TARIK MINAT PELAJAR MAAHAD TAHFIZ SAINS AL-MUHAMMADI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 Jun 2025 – Sebagai usaha untuk meningkatkan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif menganjurkan Kem STEM Biokimia dan DNA Forensik 2025 pada 12 Jun lalu.

1000148287

Program ini merupakan sebahagian daripada SciTech4U-STEM CAMP MOSTI 2025, hasil inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama PPSG USM dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maahad Tahfiz Sains Al-Muhammadi Kampung Nipah, Bachok.

1000148283

Program yang disertai oleh 80 pelajar tingkatan tiga (3) hingga lima (5) itu bertujuan menggalakkan pemikiran kritis, memberi pendedahan tentang kaedah penyelesaian masalah dan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) selain mendedahkan pelajar kepada aplikasi STEM dalam kehidupan seharian dan kerjaya masa depan.

1000148289

Program ini juga bertujuan membina kemahiran kolaborasi, komunikasi dan kreativiti para pelajar melalui projek berasaskan inkuiri dan reka bentuk. Selain itu, para pelajar turut didedahkan kepada pelbagai aktiviti menarik termasuk cabaran analisis ‘Deoxyribonucleic acid’ (DNA) forensik berasaskan teknik gamifikasi, penggunaan imej kecerdasan buatan (AI), kaedah pengekstrakan DNA, jejak forensik serta eksperimen biokimia secara ‘hands-on’.

1000148291

Para peserta juga berpeluang mengikuti lawatan ilmiah ke fasiliti PPSG seperti Poliklinik, Makmal Teknologi Pergigian, Unit Pendidikan Kesihatan Pergigian dan Galeri Interaktif Sains Perubatan (SPICES), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP).

1000148295

Penganjuran kem ini secara tidak langsung mengukuhkan peranan USM dalam memperkasakan pendidikan STEM serta mempertingkatkan reputasi sebagai institusi peneraju dalam bidang sains dan teknologi selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.

1000148285

1000148293

Hadir merasmikan program ini ialah Dekan PPSG, Profesor Dr. Norhayati Luddin. Program ini turut melibatkan penyertaan pelajar pascasiswazah, pegawai sains dan pensyarah PPSG sebagai fasilitator.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Khairul Bariah Ahmad Amin dan Dr. Norhayati Yusop

  • Created on .
  • Hits: 167