Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KEMPEN DERMA DARAH HPUSM KUMPUL 177 BEG DARAH

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 Ogos 2026 – Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendermaan darah serta menggalakkan orang ramai menjadi penderma secara berkala, Unit Perubatan Transfusi, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dengan kerjasama MPTS Construction Sdn. Bhd., Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) dan KB Mall telah menganjurkan Kempen Derma Darah dan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2026 pada 22 Ogos lalu.

Program yang berlangsung di KB Mall, Kota Bharu itu mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 222 orang mendaftar untuk menderma darah, dengan 177 orang berjaya menderma selepas melalui proses saringan, sekali gus menghasilkan 177 beg darah untuk membantu memenuhi keperluan bekalan darah di HPUSM.

Selain aktiviti pendermaan darah, program ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti komuniti dan pertandingan serta penghargaan kepada penderma yang mempunyai rekod pendermaan darah tertinggi sebagai tanda terima kasih atas komitmen mereka dalam menyokong usaha pendermaan secara berkala.

Program turut mendapat sokongan daripada rakan-rakan penaja termasuk McDonald’s Malaysia, Bank Rakyat Wakaf Che Yeh, The Chicken Rice Shop, menerusi sumbangan makanan, hadiah, hamper, peruntukan aktiviti, kemudahan serta sokongan teknikal.

Kerjasama antara universiti, komuniti, organisasi dan pihak industri ini mencerminkan komitmen bersama dalam meningkatkan kesedaran awam serta menyokong usaha memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk keperluan pesakit.

Melalui program seumpama ini, masyarakat diharap terus menjadikan pendermaan darah sebagai amalan berkala kerana setiap sumbangan mampu memberi harapan dan membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.

Setitik Darah, Sejuta Jasa.

Sumber Laporan & Foto: Nik Mohamed Adzfar Mohamed Resli

  • Created on .
  • Hits: 70