USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Ogos 2022 – Melalui Program Libatsama Universiti – Komuniti Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM), Pasukan Modifikasi Khas Kerusi Roda USM dari Unit Transformasi Orang Kelainan Upaya (OKU), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) telah dijemput menyumbang kepakaran dan membantu program modifikasi kerusi roda golongan OKU di Hotel CS Pattani, Thailand, pada 24 dan 25 Julai lalu.
USM telah menghantar seramai lima orang petugas diketuai oleh Pensyarah Kanan Terapi Carakerja, PPSK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim bagi menyertai pasukan kerusi roda dari Rajanagarindra Institute of Child Development (RICD) dalam program ini.
Program Libatsama Universiti -Komuniti Antarabangsa ini adalah kesinambungan daripada termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara USM dan RICD pada tahun 2012, melalui inisiatif Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM.
Sejak itu, kerjasama ini berterusan setiap tahun bermula tahun 2013 sebelum terhenti selama dua (2) tahun pada 2020 dan 2021 akibat pandemik COVID-19.
Pada program kali ini, seramai 83 orang OKU dari Willayah Selatan Thailand, seperti Yala, Narrathiwat dan Pattani telah menerima kerusi roda yang telah dimodifikasi mengikut keadaan dan keperluan mereka.
Pasukan dan Perkhidmatan Modifikasi Khas Kerusi Roda USM, PPSK telah dibentuk melalui tiga dana utama iaitu 'Dana Knowledge Transfer Program' (KTP), Bantuan Pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta Geran Penyelidikan Translational (MRUN).