KERJASAMA RENTAS SEMPADAN: PPSK USM ADAKAN LAWATAN AKADEMIK KE UNAND INDONESIA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Oktober 2025 - Bagi memberi pendedahan kepada pelajar pascasiswazah dan prasiswazah terhadap pengalaman pembelajaran dan penyelidikan di peringkat antarabangsa melalui kerjasama dengan universiti luar negara, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan lawatan akademik ke Universitas Andalas (UNAND), Padang Indonesia, pada 25 hingga 30 September lalu.

Lawatan yang diketuai Pengerusi Program Sains Forensik, Profesor Madya Dr. Edinur Hisham Atan bersama dua (2) pegawai pengiring serta 15 orang mahasiswa yang terpilih daripada golongan B40 ini juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 17: Kerjasama Demi Matlamat.


Selain itu, lawatan ini bertujuan memupuk kerjasama antarabangsa di samping memperkukuh keupayaan penyelidikan serta memberikan pengalaman global kepada mahasiswa USM dan UNAND selaras dengan Agenda APEX iaitu mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi, sejajar dengan agenda transformasi universiti.


Delegasi lawatan turut berpeluang mengikuti sesi 'Biomedical Research Sharing Session UNAND-USM’, menghadiri ‘lab attachment’ dan membuat kunjungan ke makmal molekular, makmal infeksi dan makmal haiwan di Kampus Jati selain dibawa ke makmal anatomi Kampus Utama UNAND di Limau Manis, Padang.

Sumber Laporan & Foto: Wan Nor Azleen Wan A Rahman @ Hasnan
- Created on .
- Hits: 302