KESELAMATAN PESAKIT, TANGGUNGJAWAB BERSAMA – HPUSM TERAJUI ROADSHOW PENUH ILMU
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 September 2025 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus memperkukuhkan komitmennya terhadap agenda keselamatan pesakit dengan penganjuran Program ‘Roadshow’ Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2025 Siri 1 pada 10 September lalu di Wad 2 Topaz dan Wad 1 Timur Belakang.

Penganjuran di dua (2) wad serentak ini memperlihatkan komitmen hospital dalam memperluaskan capaian pendidikan kesihatan dan meningkatkan kesedaran berkaitan amalan keselamatan pesakit kepada kumpulan sasaran utama iaitu ibu-ibu yang sedang dirawat serta staf yang terlibat secara langsung dalam penjagaan kesihatan.

Selain itu, program ini juga bertujuan memupuk penglibatan aktif staf kesihatan, pesakit dan penjaga dalam memastikan keselamatan rawatan di samping mengukuhkan budaya ‘Keselamatan Pesakit Tanggungjawab Semua’ di HPUSM.

Pelbagai pengisian diisi sepanjang program ini antaranya sesi ‘Safe Birth and Neonatal Care’ yang membuka ruang pemahaman lebih mendalam mengenai kepentingan penjagaan awal bayi dan langkah pencegahan komplikasi, slot ‘Hand Hygiene’ yang menekankan kepentingan kebersihan tangan sebagai langkah utama pencegahan jangkitan, dengan sesi amali yang membolehkan peserta mempraktikkan teknik yang betul secara terus dan pengisian mengenai pengurusan susu perahan membantu ibu-ibu memahami kaedah perahan, penyimpanan dan pelabelan susu perahan yang selamat, sekali gus menyokong usaha hospital mempromosikan penyusuan ibu eksklusif.


Program ini membantu memperkukuh imej hospital sebagai sebuah institusi yang mementingkan kualiti dan keselamatan pesakit di samping menyokong misi HPUSM untuk melahirkan komuniti pesakit dan penjaga yang celik kesihatan serta mampu memainkan peranan aktif dalam penjagaan kesihatan.
Sumber Laporan & Foto: Naji Esah Hamzah
- Created on .
- Hits: 219