KESIHATAN GUSI CERMINAN KESIHATAN BADAN: USM DEKATI KOMUNITI MENTUAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 Februari 2026 – Sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kesihatan gusi serta hubung kaitnya dengan penyakit sistemik seperti diabetes, penyakit jantung dan tekanan darah tinggi, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil langkah proaktif menganjurkan Program Kesedaran Kaitan Penyakit Gusi dan Penyakit Sistemik dalam Kalangan Dewasa Mukim Mentuan, Kota Bharu pada 7 Februari lalu.
Program yang mendapat suntikan dana ‘Service Learning Malaysia-University for Society’ (SULAM) ini juga bertujuan memperkasakan komuniti dengan pengetahuan pencegahan serta amalan penjagaan kesihatan mulut yang betul.


Selain itu, program yang disertai lebih 100 peserta dan diadakan di Masjid Al Ihsan, Mukim Mentuan ini merupakan inisiatif pembelajaran berasaskan khidmat masyarakat yang melibatkan pelajar pergigian bersama pensyarah penyelia, dengan kerjasama pihak pengurusan masjid dan komuniti setempat

Sepanjang program berlangsung, peserta telah mengikuti ceramah interaktif, menyertai kuiz serta pameran pendidikan kesihatan mulut. Kanak-kanak yang hadir juga diberi tunjuk ajar penjagaan kesihatan mulut melalui demonstrasi teknik memberus gigi yang betul, aktiviti mewarna serta sesi interaksi dengan pelajar pergigian.

Pemeriksaan kesihatan ringkas untuk semua peserta turut dijalankan merangkumi saringan keadaan gusi serta pemeriksaan asas kesihatan. Inovasi utama yang diperkenalkan dalam program ini ialah penggunaan Pasport Kesihatan Gusi, iaitu rekod peribadi yang membolehkan peserta memantau status kesihatan mulut mereka secara berterusan.


Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti daripada aspek peningkatan pengetahuan dan kesedaran, malah turut memberi pengalaman pembelajaran autentik kepada pelajar dalam aspek komunikasi, kerja berpasukan dan tanggungjawab sosial.
Sumber Laporan & Foto: Profesor Madya Dr. Haslina Taib
- Created on .
- Hits: 185