USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 April 2023 - Dalam meraih keberkatan dan mengimarah bulan Ramadan serta Syawal yang bakal menjelang, Kelab Kebajikan Jabatan Pendaftar (KKJP), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif menyantuni 32 orang penghuni Pusat Jagaan Rohaniah, Tok Bali, Pasir Puteh pada 12 April lalu.
Pusat jagaan yang menempatkan anak-anak yatim berumur antara tujuh (7) hingga 12 tahun ini menerima sumbangan duit raya, barangan keperluan asas dan alat permainan hasil sumbangan daripada staf dan ahli keluarga warga Jabatan Pendaftar.
Sumbangan ini diharap dapat melakar senyuman dan memberi sinar kegembiraan kepada anak-anak yatim dalam menyambut kemeriahan Hari Raya Aidilfitri di samping menyuntik niat murni bersedekah dalam kalangan warga Jabatan Pendaftar, Kampus Kesihatan.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi KKJP, Noor Hanan Abdull Rahman kepada pihak pengurusan pusat jagaan berkenaan.
Sumber Laporan & Foto : Nor Liyana Mohd Noor