KKKK: PROGRAM RESIDENSI LATIH PELAJAR BERDIKARI DI LAPANGAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Oktober 2024 – Sebagai usaha menjadikan Program Kajian Komuniti dan Kes Keluarga (KKKK) platform yang efektif dalam melatih pelajar untuk menguasai kemahiran klinikal dan sosial di lapangan, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) telah mengadakan Majlis Penutup dan Penghargaan Program KKKK, PPSP USM sesi 2023/2024 di Bilik Gerakan, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh pada 14 Oktober lalu.
Program ini antara lain bertujuan menghargai kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh komuniti daerah Semerak, Pasir Puteh yang membantu melancarkan program residensi pelajar USM dan mengiktiraf kejayaan program KKKK memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada pelajar serta memperkukuhkan hubungan antara USM dan komuniti setempat.
Program ini juga selari dengan hasrat USM untuk menginspirasi ‘Service-Learning Malaysia University for Society’ (SULAM) yang diterapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Program ini diharap dapat melahirkan graduan perubatan yang seimbang daripada segi akademik dan kemahiran insaniah.
Selain itu, program ini juga dilihat sebagai platform memperkukuh hubungan antara USM dan komuniti setempat kerana hubungan erat yang terjalin antara universiti dan komuniti merupakan salah satu tunjang kekuatan program ini dalam memberikan impak positif kepada kedua-dua pihak.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua Jajahan Pasir Puteh, Mohd Khalis Syafiq Mohamad Nor; Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Masyarakat mewakili Dekan PPSP USM, Profesor Madya Dr. Wan Zahiruddin Wan Mohammad dan Penyelaras Program KKKK, Dr. Ahmad Filza Ismail.
Sumber Laporan dan Foto: Sekretariat Program KKKK, PPSP USM
- Created on .
- Hits: 157