KLINIK BERGERAK DAN PENDIDIKAN KESIHATAN DARI USM KEPADA KOMUNITI
BACHOK, KELANTAN, 19 April 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Hospital Pakar USM (HPUSM) telah menyertai Program Tautan Perdana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) - Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 April lalu di Sekolah Kebangsaan Telaga Ara.
Majlis penutupan program tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz yang turut menzahirkan komitmen kerajaan dalam memastikan perkhidmatan awam turun padang menyantuni masyarakat di peringkat akar umbi.
Program anjuran JPA dengan kerjasama INTAN itu melibatkan penyertaan 22 agensi termasuk HPUSM yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kesihatan secara langsung kepada penduduk setempat.
HPUSM telah menghantar 80 orang petugas daripada pelbagai jabatan bagi menjayakan saringan kesihatan asas, pergigian, perubatan rehabilitasi, derma darah serta demonstrasi bantuan asas hayat (BLS).
Selain itu, pelbagai pameran kesihatan turut diadakan meliputi topik seperti bahaya merokok, kesedaran penggunaan ubat, penyakit berjangkit, penyakit jantung dan diabetes. HPUSM turut membawa dua buah bas klinik bergerak iaitu Klinik Saringan Kesihatan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin Madani (KRIS) dan Klinik Pergigian.
Menurut Tan Sri Wan Ahmad Dahlan, lapan skop utama menjadi fokus dalam program ini termasuk aspek infrastruktur, pengangkutan dan pendidikan yang memerlukan kehadiran langsung pegawai kerajaan untuk memahami keperluan rakyat secara menyeluruh.
Beliau turut menekankan bahawa kehadiran agensi seperti USM dan HPUSM amat signifikan dalam menjayakan hasrat kerajaan untuk mendekati rakyat serta menyampaikan perkhidmatan berkualiti secara terus kepada komuniti luar bandar.
Turut hadir ialah Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, Timbalan Pengarah Digital HPUSM mewakili Pengarah HPUSM, Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar dan Timbalan Pengarah Klinikal HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 104