KOLABORASI USM DAN AGENSI PENDIDIKAN PERKASA KOMUNITI PENDIDIKAN KHAS KELANTAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Februari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Jabatan Patologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) terus komited memperkasa pendekatan pengajaran inklusif menerusi penganjuran Bengkel ‘Train the Trainer’ (TOT) Aktiviti ‘Tie & Dye’ bertujuan memberi pendedahan kepada guru-guru tentang kemahiran dalam bilik darjah bagi memperkaya pengalaman pembelajaran murid autisme melalui pendekatan berasaskan seni, rangsangan sensori dan pembelajaran interaktif.

Bengkel yang berlangsung pada 3 Februari lalu ini merupakan aktiviti pertama di bawah program SETIA iaitu satu inisiatif seni ekspresif inklusif dan terapeutik untuk pelajar autisme berkemahiran sederhana dengan slogan ‘Ekspresi tanpa bingkai, warna tanpa label’.

Bengkel yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Autisme USM, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan ini antara lain bertujuan memperkasa ekspresi kendiri kepada para pelajar autisme serta membuka peluang sosial dalam komuniti pendidikan khas di Kelantan.

Selain itu, bengkel yang mendapat suntikan dana daripada geran Libatsama Universiti-Komuniti 2025 USM ini membuktikan kesungguhan USM dalam menyokong usaha kelestarian; SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi), SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan) dan SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan).

Pelaksanaan bengkel ini dijalankan melalui pemindahan ilmu dari artisan ‘Tie and Dye’ berkait teknik pewarnaan kepada para guru pendidikan khas dari 17 sekolah di sekitar Kota Bharu. Di sepanjang bengkel, para peserta di dapati menunjukkan kesungguhan untuk mempelajari teknik menghasilkan corak yang ditunjukkan. Mereka kemudiannya diberi peluang untuk merasai sendiri cara-cara menghasilkan corak ‘tie and dye’ ke atas kemeja-T yang disediakan penganjur.
Sumber Laporan dan Foto: Profesor Madya Dr. Azlina Ahmad
- Created on .
- Hits: 195