KOLABORASI USM DAN WALAILAK UNIVERSITY PACU BIDANG KEJURURAWATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Jun 2025 – Program Kejururawatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima kunjungan akademik delegasi School of Nursing, Walailak University, Thailand dalam usaha memperkukuh kerjasama dua hala melalui bidang pendidikan dan latihan kejururawatan pada 17 dan 18 Jun lalu.
Lawatan ini diketuai oleh Dekan School of Nursing Walailak University, ‘Assistant Professor’ Dr. Orapen Sukhavulli dan disambut oleh Dekan PPSK USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak.
Lawatan ini antara lain bertujuan membincangkan peluang untuk penyelidikan serta program mobiliti pelajar dan staf selain berkongsi amalan terbaik dalam reka bentuk kurikulum, latihan klinikal dan pengantarabangsaan.
Sepanjang sesi lawatan, delegasi turut diberi taklimat akademik dan dibawa melawat kemudahan pengajaran seperti makmal-makmal Hospital Pakar USM, Pusat Integrasi Simulasi Klinikal (i-CSC), Galeri Interaktif Sains Perubatan (SPICES), Perpustakaan Hamdan Tahir (PHT) serta mengadakan sesi perbincangan dua hala yang konstruktif.
Lawatan ini juga mencerminkan komitmen USM dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa melalui perkongsian ilmu selari dengan aspirasi universiti sebagai peneraju pendidikan kesihatan di rantau ini.
Sumber Laporan dan Foto: Ali Aminuddin Mohd Rasani
- Created on .
- Hits: 46