Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KOMUNITI KAMPUNG BAHAGIA TERUJA PEROLEH RAWATAN GIGI PALSU

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Oktober 2024 - Isu kesihatan mulut bagi warga tua dan golongan berpendapatan rendah menjadi cabaran besar terutamanya bagi penduduk Kampung Bahagia, Kuala Krai.

1000082994

Penduduk kampung ini bukan sahaja menghadapi masalah kewangan tetapi juga kesukaran mendapatkan rawatan pergigian kerana lokasi yang terpencil dan laluan menuju ke kampung ini sukar diakses kerana memerlukan perjalanan berjam-jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau menaiki perahu atau feri yang sering terjejas pada musim tengkujuh.

1000082992

Akses internet yang sangat terhad juga menjadikan komunikasi dan pendidikan kesihatan sukar untuk dicapai. Keadaan ini menyukarkan penduduk untuk mendapatkan rawatan yang diperlukan sekaligus memburukkan kesihatan mulut mereka.

1000082996

Menyedari hakikat ini dan sebagai usaha menanganinya, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif memberi rawatan pergigian dengan menyediakan rawatan gigi palsu yang sangat diperlukan oleh golongan warga emas pada 19 Oktober lalu.

1000082990

Program yang diberi nama ‘Mengembalikan Senyuman, Meningkatkan Kesejahteraan: Inisiatif Gigi Palsu untuk Komuniti Di Kampung Bahagia’ itu bertujuan menangani isu kehilangan gigi dengan memberikan rawatan gigi palsu kepada komuniti B40 yang majoritinya warga tua selain memberi pendidikan berkala kepada penduduk kampung tentang penjagaan kesihatan mulut dengan menggunakan 'Modul Pendidikan Kesihatan Mulut berkaitan Gigi Palsu'.

1000082988

Program dengan kerjasama Pertubuhan Amal Kebajikan dan Perubatan Malaysia (MEDICOM) dan jawatankuasa Kampung Bahagia ini diharap dapat memperbaiki kesihatan mulut penduduk kampung tersebut selain menunjukkan betapa pentingnya kerjasama dan komitmen dalam menangani isu kesihatan yang kritikal di kawasan pedalaman.

Sumber Laporan & Foto: Profesor Madya Dr. Raja Azman Raja Awang & Dr. Noor Huda Ismail

  • Created on .
  • Hits: 265