KUMPULAN REHAB CHARGER SERAH PRODUK INOVASI MAIDs5 KEPADA PENERIMA
KOTA BHARU, KELANTAN, 24 April 2025 – Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah memilih produk inovasi ‘Multiple Aids for Paediatric Rehabilitation’ (MAIDs5) sebagai salah satu produk inovasi untuk diserahkan di bawah program MaGRIs/MyIS Akar Umbi 2022 sempena Majlis Perasmian Ruang Daya Cipta (RDC) yang berlangsung di Urban Transformation Centre (UTC) Kelantan, hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Ruziah Shafei mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Turut berlangsung dalam majlis tersebut ialah sesi penyerahan produk inovasi MAIDs5 kepada peserta daripada golongan B40.
Produk inovasi MAIDs5 merupakan inovasi perubatan rehabilitasi bersepadu dengan lima (5) fungsi utama dalam satu alat yang direka khas untuk menyokong proses pemulihan kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) yang mengalami kelewatan perkembangan motor.
MAIDs5 juga membolehkan pesakit untuk duduk, berdiri (dengan atau tanpa sokongan), berjalan, digunakan sebagai ‘stroller’ serta menyokong aktiviti harian dan motor halus.
Inovasi yang dibangunkan oleh kumpulan Rehab Charger, Unit Perubatan Pemulihan, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Muhammad Hafiz Hanafi dan disertai 12 orang ahli kumpulan ini juga turut mendapat geran pembangunan melalui Geran MyIS Akar Umbi (MaGRIs) sebanyak RM62,000 untuk produk ini.
Antara pesakit yang boleh menggunakan MAIDs5 ialah pesakit yang didiagnos sebagai sindrom down, ‘hydrochepalus’, ‘cerebral palsy’, ‘delay development’ dan pelbagai lagi kondisi neurologi lain.
Teks & Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood.
- Created on .
- Hits: 7