KUNJUNGAN HORMAT PENGARAH KAMPUS KE JKKP NEGERI KELANTAN BINCANG ISU KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN KAMPUS KESIHATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Januari 2026 – Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Kelantan pada 6 Januari lalu.

Kunjungan tersebut turut disertai sembilan (9) delegasi Kampus Kesihatan USM yang terdiri daripada wakil Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP), Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF), Jabatan Keselamatan (JK), Pegawai Undang-Undang serta wakil Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK).

Delegasi USM disambut mesra oleh Pengarah JKKP Negeri Kelantan, Rosnizawati Baharom bersama timbalannya Ts. Mohd Al Fadil Mohd Salleh serta ketua-ketua seksyen JKKP Negeri Kelantan.
Kunjungan itu antara lain bertujuan memperkenalkan kepimpinan baharu Kampus Kesihatan kepada pihak JKKP Kelantan di samping membincangkan pelbagai isu berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di persekitaran kampus.

Pertemuan tersebut turut menjadi platform untuk meneroka bidang-bidang strategik keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berpotensi dijalinkan secara bersama antara Kampus Kesihatan USM dan JKKP Kelantan, sekali gus mengukuhkan hubungan serta kerjasama sedia ada antara kedua-dua pihak.
Hubungan strategik yang kukuh antara USM dan JKKP amat penting dalam usaha memperkasa amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan selaras dengan keperluan perundangan serta pematuhan kepada standard keselamatan semasa.

Pihak JKKP Kelantan turut menyambut baik hasrat kerjasama yang dicadangkan dan menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan pengurusan Kampus Kesihatan dalam pelbagai aspek berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan demi manfaat bersama.
Sumber Laporan & Foto: Mohd Nazri Che Ali
- Created on .
- Hits: 162