KUNJUNGAN MPKB-BRI KE USM TINGKATKAN KERJASAMA STRATEGIK ANTARA PBT DAN IPTA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Julai 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan hormat dari Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Dato’ Zulkifle Ab Rahman dan delegasi jabatan itu hari ini dalam usaha mengukuhkan hubungan strategik antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).

Kunjungan tersebut memberi tumpuan kepada perbincangan beberapa agenda utama yang melibatkan aspek pengurusan persekitaran, kemudahan awam dan kesejahteraan komuniti kampus.

Antara perkara yang dibincangkan ialah pelaksanaan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya berkaitan pengurusan sisa pepejal dan kebersihan persekitaran bagi memastikan kawasan kampus sentiasa bersih, selamat dan lestari.

Turut diketengahkan ialah cadangan penambahbaikan sistem lalu lintas melalui pemasangan lampu isyarat di persimpangan masuk pintu A, Kampus Kesihatan USM bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan pembinaan jejantas yang menghubungkan fasiliti hospital dan kawasan sekitar bagi memudahkan pergerakan warga kampus, pesakit serta pelawat, di samping meningkatkan aspek keselamatan pejalan kaki.

Perbincangan turut menyentuh keperluan mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pengurusan acara termasuk pengisian berbentuk hiburan serta penganjuran program atau aktiviti keusahawanan yang melibatkan vendor luar, staf dan pelajar USM.
Dalam masa yang sama, aspek pengurusan kawasan perumahan universiti turut diberi perhatian bagi memastikan persekitaran kediaman warga kampus sentiasa bersih, selamat dan kondusif.

Sesi perbincangan ini mencerminkan komitmen berterusan USM dan MPKB-BRI dalam memperkukuh kerjasama strategik demi merealisasikan agenda pembangunan mampan serta mewujudkan persekitaran Kampus Kesihatan USM yang lebih selesa, selamat dan berkualiti untuk manfaat seluruh warga universiti serta masyarakat setempat.

Turut hadir dalam sesi perbicangan itu ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail; Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr Ab. Rahman Izaini Ghani@Ab Ghani; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak dan Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 176