KURSUS ‘CREDENTIALING CIRCUMCISION’ : TINGKAT PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN PROSEDUR BERKHATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Ogos 2023 – Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan institusi kesihatan yang sering dijemput oleh agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyumbang kepakaran dalam memberi perkhidmatan berkhatan kepada komuniti yang terpilih terutamanya kanak-kanak kategori B40 dan anak-anak yatim.

Menyedari hakikat itu, Pengurusan Hospital USM bersama Jabatan Surgeri, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) mengambil inisitif menubuhkan Jawatankuasa ‘Credentialing Circumcision’ (Teknik Dorsal Slit) Hospital USM bagi meningkatkan pengetahuan dan melatih kemahiran dalam melakukan prosedur berkhatan kepada Pegawai Perubatan dan Penolong Pegawai Perubatan yang terlibat secara langsung dengan program berkhatan di Hospital USM mahupun bersama komuniti.

Buat julung kalinya Kursus ‘Credentialing Circumcision’ (Teknik Dorsal Slit) peringkat Hospital USM 2023 telah diadakan pada 10 Ogos lalu melibatkan sesi syarahan dan latihan praktikal kepada 34 peserta terpilih sejajar dengan polisi Hospital USM iaitu memastikan aktiviti perawatan klinikal yang selamat, berkesan, berpusatkan pesakit, tepat pada masa, cekap dan saksama.

Kursus ini antara lain bertujuan menyeragamkan amalan prosedur berkhatan teknik Dorsal Slit dalam kalangan Pegawai Perubatan dan Penolong Pegawai Perubatan selain meningkatkan pengetahuan mengenai anatomi dan cara pemeriksaan sebelum prosedur ‘circumcision’.

Bagi melengkapkan keperluan ‘credentialing circumcision’ ini, peserta perlu mengisi buku log dan akan diletakkan di bawah pemantauan penilai pertama dan penilai kedua yang terdiri daripada pegawai perubatan terlatih, penolong pegawai perubatan terlatih serta pakar-pakar perubatan dari Jabatan Surgeri serta Jabatan Perubatan Kecemasan dan Trauma.
Kumpulan pertama bagi kursus ini akan mengadakan sesi latihan praktikal di lapangan pada 20 Ogos nanti di Sekolah Kebangsaan Jerek, Gua Musang melibatkan 70 orang anak asnaf dan anak-anak yatim dari pedalaman Gua Musang.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Norhayati Mohamad
- Created on .
- Hits: 609