KURSUS ORIENTASI DAN MOBILITI TINGKAT KEMAHIRAN OKU PENGLIHATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Ogos 2026 –Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya (OKU) Universiti Sains Malaysia – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (PTOKU USM-MAIK) dengan kerjasama Pusat Transformasi Insan menganjurkan Kursus Orientasi dan Mobiliti (O&M) pada 16 hingga 18 Ogos lalu bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kesedaran peserta dalam membantu individu OKU penglihatan secara selamat dan berkesan.

Kursus ini memberi penekanan kepada aspek orientasi, iaitu kebolehan individu memahami persekitaran dan menentukan arah dengan selamat, serta mobiliti yang merangkumi kemahiran bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain secara berdikari atau dengan bantuan yang betul.

Peserta turut didedahkan kepada pelbagai teknik asas termasuk pra-tongkat, penggunaan tongkat putih dan kaedah membimbing individu OKU penglihatan mengikut prosedur yang betul dan selamat.

Tiga penceramah daripada National Council for the Blind, Malaysia (NCBM) terlibat dalam pelaksanaan kursus tersebut, iaitu Raja Norsadah Raja Sulaiman, Wong Yoon Loong dan Chin Yew Cheng.

Ketiga-tiga penceramah berkongsi pengetahuan, pengalaman serta kemahiran praktikal berkaitan O&M, khususnya dalam aspek keselamatan, aksesibiliti dan teknik membantu individu OKU penglihatan secara selamat, yakin dan berkesan.


Sepanjang kursus, peserta bukan sahaja diberikan pendedahan teori, malah turut menjalani latihan praktikal bagi meningkatkan kefahaman terhadap teknik bimbingan yang berkesan serta cabaran yang dihadapi oleh individu OKU penglihatan dalam kehidupan seharian.

Selain itu, peserta turut didedahkan kepada etika komunikasi, aspek keselamatan serta kaedah memberikan bantuan tanpa menjejaskan maruah dan hak individu OKU penglihatan.

Para peserta diharap dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh ketika berinteraksi atau menjalankan tugas bersama komuniti OKU penglihatan, sekali gus menyumbang kepada pembentukan persekitaran yang lebih inklusif, prihatin dan menghormati hak setiap individu.
Sumber Laporan & Foto: Nurul Husna Rahim
- Created on .
- Hits: 107