USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 31 Mei 2023 - Kunci kelestarian hari esok bermula dalam diri masing-masing. Pelbagai usaha boleh digerakkan untuk melestarikan alam sekitar daripada sekecil-kecil inisiatif di rumah hingga ke tempat kerja.

Inisiatif Jawatankuasa Kelestarian Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini yang berjaya mengumpul pakaian serta mainan berasaskan fabrik terpakai sebanyak lebih 13,000 kilogram (kg) wajar dipuji. Dalam tempoh singkat pada 16 dan 17 April 2023, pasukan sukarela tersebut telah menggembleng tenaga dan mengurus kutipan daripada warga Kampus Kesihatan serta komuniti sekitar sehingga hasilnya melebihi jangkaan.

Lifeline Clothing Malaysia Sdn. Bhd., rakan kerjasama strategik kitar semula yang berfokus kepada usaha menyelamatkan barangan buangan berasaskan fabrik telah mengiktiraf sumbangan USM ini dengan mengeluarkan sijil khas.

Berdasarkan anggaran data pelepasan karbon dioksida (CO2) harian di Malaysia iaitu 21kg sehari, usaha USM ini telah berjaya menyelamatkan pelepasan kira-kira 24,518kg CO2 ke atmosfera, iaitu bersamaan dengan pengurangan pencemaran CO2 sebanyak 1,168 hari dalam pengutipan dua (2) hari ini.

Jawatankuasa Kelestarian Kampus Kesihatan berharap program seumpama ini dapat dilakukan secara berkala dan lebih sistematik serta dapat melibatkan lebih ramai komuniti setempat pada masa akan datang. Jawatankuasa Kelestarian Kampus Kesihatan diketuai oleh Dr. Vina Tan Phei Sean dan di anggotai oleh wakil-wakil setiap Pusat Tanggungjawab di Kampus Kesihatan termasuk mahasiswa yg terlibat di dalam pelbagai aktiviti hijau kampus.


Pihak Pengurusan USM berbangga usaha Jawatankuasa Kelestarian Kampus Kesihatan dengan kerjasama Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Keselamatan dan Bahagian Perkhidmatan Dobi, Hospital USM bagi memastikan program tersebut berjalan lancar dan menyeru lebih ramai tampil dengan inisiatif sedemikian bagi memastikan alam sekitar dan bumi tercinta terus terpelihara.