LANGKAH KE TANAH SUCI: USM RAI BAKAL TETAMU ALLAH
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 April 2026 - Ibadah haji adalah rukun Islam kelima yang memiliki kedudukan istimewa dalam syariat. Ia merupakan puncak kerinduan setiap Muslim untuk menyempurnakan agamanya, sebuah perjalanan spiritual yang tidak hanya melibatkan fisik, namun juga hati dan jiwa.

Panggilan haji ke Baitullah, Kaabah yang mulia di Makkah, adalah undangan langsung dari Allah SWT kepada hamba-Nya yang mampu untuk datang dan menyaksikan kebesaran-Nya.

Bagi meraikan 31 staf Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang terpilih untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini, Pusat Islam Kampus Kesihatan USM mengambil inisiatif menganjurkan Majlis Meraikan Duyufurrahman di Masjid Kampus Kesihatan USM, hari ini.

Majlis ini bertujuan menghargai dan meraikan bakal jemaah haji dalam kalangan staf sebagai tanda sokongan serta doa agar mereka diberikan kelancaran sepanjang menunaikan ibadah haji.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail yang turut menzahirkan penghargaan serta mendoakan kesejahteraan para jemaah sepanjang berada di Tanah Suci Makkah.

Penganjuran majlis seumpama ini mencerminkan keprihatinan pengurusan universiti dalam menghargai staf serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga kampus.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 124