LAUNGAN SEMANGAT BERSUKAN, BERSATU DAN BERPRESTASI GEGAR PADANG BOLA SEPAK KAMPUS KESIHATAN USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Mei 2025 – Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi saksi kemeriahan laungan ‘Bersukan, Bersatu, Berprestasi!' sempena Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) Peringkat Kebangsaan 2025 anjuran Jabatan Kejururawatan, Hospital Pakar USM (HPUSM) dengan kerjasama Kelab Bola Sepak USM Kampus Kesihatan yang menghimpunkan warga PPK dari seluruh pelosok negara, hari ini.
Penganjuran kejohanan ini bertujuan menyatukan barisan tenaga kerja utama dalam sektor kesihatan yang sentiasa komited di barisan hadapan penjagaan pesakit serta menyerlahkan peranan mereka sebagai individu yang berdaya saing, berdisiplin dan bersemangat waja.
Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh Pengarah, HPUSM, Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani di Padang Bola Sepak Kompleks Sukan 1, Kampus Kesihatan USM.
Kejohanan yang mendapat sambutan memberangsangkan ini disertai oleh 14 pasukan mewakili pelbagai agensi kerajaan terdiri dari Hospital Pengajar UniSZA (HOSZA), Hospital Sultanah Zahirah (HSNZ), Penang 07, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB), Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN), Penang Surgikal, PPK Perak, Sultan Ahmad Shah Medical Centre @ IIUM (SASMEC @ IIUM), PPK Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM FC), Hospital Seberang Jaya Pulau Pinang (HSJPP), Kedah HAWKS, Hospital Ampang, Buaya Killer FC Hospital Kuala Lumpur (HKL), Institut Perubatan Respiratori (IPR) dan dua (2) pasukan dari HPUSM.
Perlawanan akhir menyaksikan pertembungan antara pasukan HPUSM (A) dan HCTM dengan kemenangan berpihak kepada pasukan HPUSM A yang berjaya menjuarai kejohanan tersebut serta membawa pulang piala pusingan, medal dan wang tunai berjumlah RM2000 sebagai ganjaran.
Kejohanan ini turut menjadi simbol kesatuan dan kebersamaan dalam kalangan PPK dari Perlis hingga ke Sabah di samping memperkukuh jaringan profesional antara organisasi kesihatan seluruh negara. Ia juga berperanan sebagai platform untuk memupuk semangat kesukanan, kerjasama, disiplin dan integriti dalam kalangan warga PPK.
Turut hadir ialah Ketua Jabatan Kejururawatan HPUSM, Norhayati Mohamad; Presiden Kelab Bola Sepak USMKK, Mohd Yuzmuhaimizee Yaacob dan pengurus- pengurus pasukan yang bertanding.
Teks: Marlina Zahari/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 236