LAWATAN ALUMNI PERUBATAN USM SERLAH SOKONGAN TERHADAP INISIATIF KEBAJIKAN DAN OKU
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Julai 2025 – Seramai 25 alumni Doktor Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) pengambilan 85/90 bersama ahli keluarga telah mengadakan lawatan ke Rumah Ronald McDonald (RRM) Hospital Pakar USM (HPUSM) dan Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya Universiti Sains Malaysia - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (PTOKU USM - MAIK) di Kampus Kesihatan USM sempena pertemuan semula mereka baru-baru ini.
Lawatan dimulakan di RRM HPUSM iaitu pusat penginapan sementara yang menyediakan kemudahan untuk keluarga pesakit kanak-kanak yang menjalani rawatan atau temu janji harian di HPUSM. Taklimat mengenai operasi RRM telah disampaikan oleh Pengurus RRM, Nurul Wahida Harun yang menjelaskan peranan RRM HPUSM dalam memberikan sokongan holistik kepada keluarga pesakit, khususnya daripada golongan B40.
Rombongan alumni turut berkesempatan melawat PTOKU USM MAIK yang merupakan hasil kerjasama strategik antara USM dan MAIK. Mereka disambut mesra oleh Ketua PTOKU USM-MAIK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim.
PTOKU USM - MAIK berperanan sebagai pusat latihan dan pemulihan bagi golongan OKU melalui pelbagai program pembangunan kendiri. Antara inisiatif yang dijalankan termasuk latihan pembuatan kerusi roda khas, pengendalian perkhidmatan dobi dan pengurusan kafe dengan penghasilan produk makanan tradisional seperti popia gulung dan simpul kasih.
Usaha ini bukan sahaja memperkasakan komuniti OKU, malah membuka ruang ke arah keusahawanan sosial yang mampu meningkatkan tahap ekonomi dan keyakinan diri mereka.
Lawatan ini bukan sekadar mengimbau kenangan zaman pengajian, malah menjadi platform mempererat ukhuwah dalam kalangan alumni yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor kesihatan di seluruh negara. Pada masa sama, ia menunjukkan sokongan padu terhadap usaha kebajikan dan pembangunan komuniti yang dilaksanakan di USM.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 48