USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 September 2022 - "Harmoni dengan semangat keserakanan dan kebersamaan yang menyerlah", demikian gambaran sepanjang program lawatan kerja rasmi delegasi Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Pertemuan antara kedua-dua institusi naungan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini bertujuan untuk perkongsian amalan terbaik pengurusan hospital pengajar, khususnya bagi perancangan HPUniSZA yang baru sahaja memulakan operasinya tahun ini.

Delegasi HPUniSZA yang diketuai Timbalan Pengarah (Pengurusan), Ahmad Termizi Ab. Aziz turut disertai oleh pegawai-pegawai jabatan penting antaranya Jabatan Kewangan, Jabatan Rekod Perubatan, Unit Kerja Sosial Perubatan, Unit Kenderaan dan Unit Perhubungan Awam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof serta Timbalan Pendaftar Kanan, Mohd Saberi Mohd Yusoff mengetuai pasukan Hospital USM yang menyambut kehadiran delegasi UniSZA, mengendalikan sesi perkongsian dan dialog serta lawatan ke jabatan dan unit-unit utama di Hospital USM.


Turut serta ialah pegawai-pegawai utama Hospital USM termasuk daripada Unit Pentadbiran dan Kemudahan Am, Jabatan Bendahari, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset, Unit Rekod Perubatan serta Pusat Media dan Perhubungan Awam.