Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

LAWATAN MEDIA KE RUMAH RONALD McDONALD HPUSM CERMINAN KEJAYAAN KERJASAMA STRATEGIK USM DAN RMHC

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 November 2025 – Rumah Ronald McDonald (RRM) di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) hari ini menerima kunjungan wakil media massa, media elektronik dan pempengaruh media sosial bagi memperkenalkan peranan fasiliti kebajikan itu kepada orang ramai.

1000199830

Lawatan itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada media mengenai fungsi RRM HPUSM dalam membantu keluarga pesakit kanak-kanak yang menjalani rawatan di hospital. Lawatan ini turut menekankan usaha berterusan Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia dalam melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), selain mengukuhkan kerjasama strategik antara RMHC Malaysia, HPUSM dan organisasi media.

1000199832

Pengamal media berpeluang meninjau kelengkapan dan kemudahan yang disediakan di RRM HPUSM termasuk bilik penginapan, ruang istirahat, dapur komuniti serta kawasan permainan mesra keluarga. Mereka turut berinteraksi dan menemu bual beberapa keluarga pesakit yang berkongsi kisah inspirasi mengenai manfaat kemudahan tersebut sepanjang tempoh rawatan anak-anak mereka. USM merakamkan penghargaan atas kerjasama erat bersama RMHC Malaysia yang membawa kepada terbinanya RRM HPUSM.

1000199834

1000199840

Berdasarkan tinjauan sejak hampir enam (6) tahun penubuhan RRM HPUSM, kemudahan-kemudahan yang disediakan didapati telah memberi impak besar khususnya kepada keluarga pesakit kanak-kanak berpendapatan rendah dan mereka yang datang dari kawasan luar bandar untuk mendapatkan rawatan pakar di HPUSM. Semasa anak-anak dirawat, ibu bapa atau penjaga dapat tinggal sementara di ruang selesa dan lengkap, sekali gus mengurangkan beban kos penginapan serta tekanan emosi.

1000199838

1000199844

USM komited untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak demi memastikan kebajikan pesakit dan keluarga sentiasa menjadi keutamaan, selari dengan aspirasi Kampus Kesihatan sebagai pusat pendidikan, penyelidikan dan penjagaan kesihatan yang berteraskan insan.

1000199836

1000199842

Turut hadir menyantuni delegasi media ini ialah Pengurus Besar RMHC Malaysia, Nasri Nordin; Timbalan Pengarah (Klinikal) mewakili Pengarah HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Pengarah Komunikasi Korporat McDonald's Malaysia merangkap Timbalan Setiausaha RMHC Malaysia, Shamsidar Yahya; pempengaruh media sosial serta keluarga penerima manfaat RMHC Malaysia.

Teks: Marlina Zahari / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 117