LIMA 2025: USM RINTIS PELUANG PENYELIDIKAN SILANG KESIHATAN AWAM DAN AEROANGKASA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Jun 2025 – Pelajar Doktor Kesihatan Awam (DrPH), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Amalina Asmail@Ismail dari Jabatan Perubatan Masyarakat (JPM), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), merupakan antara petugas yang terpilih menyertai penempatan penting di Bilik Operasi Kesihatan Awam LIMA 2025 yang berlangsung pada 20 hingga 24 Mei lalu.
Penempatan ini bukan sekadar lawatan biasa kerana ia turut disusuli dengan lawatan akademik oleh Ketua Jabatan, JPM PPSP USM, Profesor Madya Dr. Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad, bersama Pensyarah Perubatan yang juga mantan Timbalan Komander Bilik Operasi Kesihatan Awam LIMA 2023, Dr. Afiq Izzudin A. Rahim. Kehadiran mereka juga menandakan permulaan era baharu kerjasama strategik antara USM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengalaman ini amat penting dalam membentuk pemahaman mendalam tentang peranan sebenar pakar kesihatan awam dalam pengurusan acara berskala besar bertaraf antarabangsa. Ia melangkaui pembelajaran di bilik kuliah kerana memberi pendedahan langsung yang sangat berharga kepada pelajar.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen USM dalam merealisasikan motonya, "Kami Memimpin". Pendidikan kesihatan awam tidak seharusnya terhad kepada teori semata-mata, tetapi perlu diterjemahkan melalui pengalaman lapangan yang mampu meningkatkan kualiti graduan pakar kesihatan awam negara.
Selain penempatan pelajar, LIMA 2025 turut menjadi platform penting untuk meneroka potensi kerjasama inovatif bersama industri aeroangkasa negara.
Walaupun kerjasama antara kesihatan awam dan industri aeroangkasa masih di peringkat awal, potensi transformasinya amat besar. Fokus utama adalah kepada penggunaan teknologi seperti ‘drone’ dan sistem pemantauan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dalam memperkukuh inisiatif kesihatan awam.
Lebih membanggakan, empat (4) syarikat aeroangkasa tempatan telah menyatakan minat yang tinggi untuk terlibat dalam penyelidikan bersama ini. Perbincangan kini sedang giat dijalankan untuk memuktamadkan kerjasama tersebut.
Usaha ini membuka dimensi baharu dalam landskap penyelidikan negara iaitu menghubungkan dua (2) bidang yang sebelum ini jarang bersilang (kesihatan awam dan aeroangkasa). USM berbangga menjadi peneraju dalam inisiatif perintis ini.
USM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi atas sokongan padu dalam merealisasikan kerjasama ini.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Afiq Izzudin A. Rahim.
- Created on .
- Hits: 104