Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

MANTAP JADI PEMANGKIN AKSES PENJAGAAN PENDENGARAN WARGA EMAS

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Oktober 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Program Audiologi, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), mengambil inisiatif meningkatkan akses penjagaan kesihatan pendengaran dalam kalangan warga emas melalui Misi Audiologi Nasional: Transformasi Akses Pendengaran (MANTAP) pada 10 Oktober lalu.

 

Inisiatif yang dilaksanakan bersempena Sambutan Hari Audiologis Sedunia itu bermula dengan program libat urus bersama penghuni Rumah Sejahtera di Pondok Hidayah 2, Machang, yang melibatkan hampir 65 warga emas menjalani pemeriksaan pendengaran dan menerima konsultasi audiologi profesional.

Program ini turut merangkumi pemeriksaan kesihatan dan ujian kecergasan yang dikendalikan oleh Dr. Nur Syamsina Ahmad bersama-sama pelajar Program Sains Senaman dan Sukan, PPSK USM.

Projek MANTAP ini menerima pembiayaan daripada Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM menerusi Geran Libatsama Universiti-Komuniti. Pelaksanaannya diteruskan melalui beberapa fasa, merangkumi pemilihan dan percubaan Alat Bantu Pendengaran (ABP) sebelum penyerahan pemilikan kepada penerima yang layak.

Inisiatif ini turut mendapat kerjasama Majlis Pusat Kebajikan Semalaysia (MPKSM) Negeri Kelantan serta sokongan rakan strategik daripada pelbagai organisasi dan penyedia perkhidmatan kesihatan.

Melalui MANTAP, USM berharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan pendengaran serta membantu warga emas mendapatkan akses kepada sokongan pendengaran yang bersesuaian demi meningkatkan kualiti hidup mereka.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Mohd Fadzil Nor Rashid

  • Created on .
  • Hits: 122