MASJID USM SAHABAT KOMUNITI BAWA SOKONGAN SPIRITUAL DAN JAGAAN PALIATIF KEPADA MASYARAKAT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 Julai 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Islam Kampus Kesihatan terus memperluaskan agenda pemindahan ilmu dan pemerkasaan komuniti apabila menganjurkan program Masjid USM Sahabat Komuniti di Masjid Ar-Rahmah, Mukim Lating, Mulong, pada 18 Julai lalu.

Program yang menghimpunkan kira-kira 150 penduduk Mukim Lating itu merupakan kesinambungan kerjasama strategik antara Kampus Kesihatan USM dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) susulan penganjuran Bengkel Spiritualiti dan Jagaan Paliatif yang berlangsung pada 11 Jun lalu di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra.
Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan sokongan spiritual dan jagaan paliatif dalam membantu pesakit kronik, pesakit terminal, warga emas serta individu yang berhadapan dengan pelbagai ujian kesihatan melalui pendekatan holistik yang merangkumi aspek kerohanian, emosi, psikososial dan fizikal.

Di samping itu, program ini turut memperkasa peranan institusi masjid sebagai pusat pendidikan, khidmat masyarakat dan rujukan komuniti dalam menyediakan sokongan spiritual yang berteraskan al-Quran, al-Sunnah serta nilai-nilai Islam, di samping membawa kepakaran universiti lebih dekat dengan masyarakat.
Program tersebut juga memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti imam, pegawai masjid, sukarelawan dan ahli kariah melalui pendedahan kepada kemahiran asas komunikasi, kaedah ziarah, kaunseling spiritual serta sokongan emosi kepada pesakit dan penjaga agar institusi masjid mampu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Antara pengisian utama program ialah ceramah bertajuk Sokongan Spiritual dan Jagaan Paliatif Menurut Perspektif Islam serta perkongsian mengenai pengurusan ibadah ketika sakit yang memberi penjelasan berhubung rukhsah dalam ibadah dan tatacara bersuci serta menunaikan solat mengikut kemampuan pesakit. Pengisian tersebut memberi pendedahan kepada masyarakat, khususnya pesakit dan penjaga, agar dapat terus melaksanakan tuntutan agama walaupun berhadapan dengan kekangan kesihatan.

Selain itu, komuniti Mukim Lating turut mengambil peluang mendapatkan khidmat konsultasi pemakanan di reruai USM yang menawarkan nasihat berkaitan pemakanan sihat serta pengurusan diet mengikut keperluan individu.

Program Masjid USM Sahabat Komuniti membuktikan komitmen USM dalam memperluaskan jaringan kerjasama bersama MAIK, institusi masjid dan pelbagai agensi ke arah memperkasa kesejahteraan masyarakat melalui pendekatan yang mengintegrasikan aspek kesihatan, kerohanian dan kemasyarakatan, selaras dengan aspirasi universiti untuk memindahkan ilmu dan kepakaran demi manfaat komuniti.
Turut hadir menjayakan program ini ialah Timbalan Pengarah, Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Ustazah Amira Abd Sattar @ Ismail, Imam Tua Masjid Ar-Rahmah Mukim Lating, Haji Mohd Noor Mamat serta Imam Muda Masjid Ar-Rahmah Mukim Lating, Ustaz Haji Mohamad Fauzi Hussin.
Sumber Laporan & Foto: Norshazalwana Mohamed Zain
- Created on .
- Hits: 78