MENITI USIA SENJA DENGAN LEBIH BERMAKNA: USM BANTU WARGA EMAS KESAN MASALAH PENDENGARAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Jun 2026 - Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan negara kita menuju ke arah menjadi negara menua pada 2036. Ini disebabkan 15 peratus (%) daripada populasi rakyat Malaysia adalah terdiri daripada mereka yang berumur melebihi 60 tahun. Seiring dengan peningkatan usia, kurang deria pendengaran merupakan satu isu kesihatan yang jarang diberikan perhatian kerana masalah ini tersembunyi pada pandangan fizikal.

Menyedari hakikat tersebut, Program Audiologi, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Unit Audiologi Hospital Pakar USM (HPUSM) mengambil inisiatif menjalankan projek komuniti di Rumah Seri Kenangan, Taman Kemumin, Pengkalan Chepa pada 23 Mei lalu.

Individu yang mempunyai masalah kurang pendengaran biasanya akan menunjukkan simptom-simptom tertentu seperti kesukaran memahami perbualan dalam suasana yang bising, kecelaruan mengenal pasti arah bunyi dan bunyi berdesing di dalam telinga. Simptom ini dipengaruhi oleh jenis dan tahap keterukan masalah pendengaran pada individu tersebut.


Melalui penganjuran program ini, seramai 40 orang penghuni rumah tersebut dikenal pasti untuk menjalani ujian saringan pendengaran. Mereka terdiri daripada warga tua yang masih mempunyai tahap kecergasan fizikal dan kecerdasan fokus yang bersesuaian dengan jenis-jenis ujian yang dilaksanakan. Antara ujian yang dijalankan ialah pemeriksaan salur telinga luar, ujian status telinga tengah serta ujian tahap pendengaran.


Hasil ujian saringan pendengaran yang dijalankan ini mendapati seramai 21 orang penghuni perlu menerima ujian lanjut diagnostik di Klinik Audiologi USM. Semoga usaha kecil melalui penganjuran program ini dapat membantu meningkatkan kualiti kesihatan dan menyerikan kehidupan warga emas dalam meniti usia senja mereka.
Sumber Laporan & Foto: Mahamad Almyzan Awang
- Created on .
- Hits: 232