MENYANTUNI WARGA, MEMPERKASA HUBUNGAN STRATEGIK MENERUSI LAWATAN RASMI KE KAMPUS KESIHATAN USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 April 2026 – Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said telah mengadakan lawatan kerja rasmi selama dua (2) hari ke Kampus Kesihatan USM dan merupakan lawatan pertama beliau sejak dilantik ke jawatan tersebut.


Lawatan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan tertinggi universiti dalam memperkukuh hubungan strategik serta memahami secara lebih dekat keperluan dan perkembangan semasa di kampus berteraskan kesihatan ini.



Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Profesor Dr. Azlan Amran serta Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail yang bersama-sama menyertai keseluruhan pengisian program lawatan tersebut.

Sepanjang lawatan, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said telah menghadiri sesi ramah mesra bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kesihatan USM dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Kampus (JKPK), yang menjadi platform penting dalam mendengar pandangan, cadangan serta aspirasi warga Kampus Kesihatan.

Sesi tersebut berlangsung dalam suasana harmoni dan terbuka, sekali gus memberi ruang kepada pelajar dan pengurusan kampus untuk berkongsi pandangan berkaitan kebajikan, pembangunan akademik serta persekitaran pembelajaran yang kondusif.


Selain itu, beliau turut menghadiri sesi perbincangan bersama Pengurusan Tertinggi Hospital Pakar USM (HPUSM) yang memfokuskan kepada hala tuju perkhidmatan kesihatan, pengukuhan kepakaran serta usaha meningkatkan kecemerlangan hospital sebagai pusat rujukan utama di rantau ini.



Dalam rangka lawatan tersebut, beliau turut dibawa melawat Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya Universiti Sains Malaysia - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (PTOKU USM-MAIK), yang memainkan peranan penting dalam memperkasa komuniti orang kurang upaya melalui pelbagai inisiatif pembangunan dan sokongan.

Lawatan diakhiri dengan kunjungan ke sekitar HPUSM bagi meninjau kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan, sekali gus memberi gambaran menyeluruh mengenai keupayaan infrastruktur dan komitmen USM dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi kepada masyarakat.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 133