MERDEKA ‘ECO FUN WALK’ 2026 SEMARAK PATRIOTISME, GALAK GAYA HIDUP SIHAT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Ogos 2026 – Program Merdeka ‘Eco Fun Walk’ 2026 menjadi platform menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga Universiti Sains Malaysia (USM) dan masyarakat setempat di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat, perpaduan dan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.

Program anjuran Kelab Paramedik Medikal Kelantan dengan kerjasama Jabatan Kejururawatan, Hospital Pakar USM (HPUSM) itu berlangsung di Kompleks Sukan 2, Kampus Kesihatan USM, pada 22 Ogos lalu.

Program dimulakan dengan sesi senaman Zumba sebelum peserta dilepaskan menyertai aktiviti ‘fun walk’ pada jam 7.30 pagi.

Bagi memeriahkan aktiviti, peserta turut menyertai beberapa aktiviti interaktif di tiga (3) ‘check point’ yang disediakan, termasuk laungan ‘MERDEKA!’, aktiviti ‘selfie’ dan pengumpulan cop penyertaan sebelum menerima medal.

Konsep ‘Eco Fun Walk’ yang diterapkan bukan sahaja menggalakkan aktiviti fizikal dalam suasana santai dan menyeronokkan, malah memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan menjaga kebersihan serta kelestarian alam sekitar.

Program turut diserikan dengan majlis perasmian oleh Ketua Jabatan, Jabatan Kejururawatan HPUSM, Norhayati Mohamad, diikuti penyampaian hadiah dan cabutan bertuah.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya menggabungkan elemen kesihatan, patriotisme, perpaduan dan kelestarian dalam satu aktiviti komuniti, sekali gus menyediakan ruang kepada warga USM dan masyarakat setempat untuk beriadah serta berinteraksi dalam suasana harmoni.
Sumber Laporan & Foto: Nur Ilyana Abd Aziz
- Created on .
- Hits: 75