MINYAK MASAK TERPAKAI JADI PRODUK BERNILAI: INISIATIF USM TINGKAT KESEDARAN ALAM SEKITAR
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 November 2025 - Minyak masak terpakai yang sering dianggap sisa kini menjadi sumber rezeki baharu buat wanita luar bandar hasil inisiatif Program ‘From Waste to Wealth’ anjuran Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM).

Program yang dilaksanakan di Pusat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Nur Fatehah 1 dan 2, Kampung Paloh Chica, Tumpat, Kelantan pada 1 November dan Masjid Kampung Lak Lok, Mukim Pelagat, Besut Terengganu pada 8 November lalu itu berjaya menarik penyertaan seramai 79 wanita daripada kumpulan B40, dengan matlamat mendidik komuniti mengenai amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dan membuka peluang keusahawanan melalui penghasilan sabun serbaguna daripada minyak masak terpakai.

Diterajui oleh Profesor Madya Dr. Siti Marwanis Anua bersama pasukan penyelidik PPSK melalui Dana Inovasi dan Kajian Sosial Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Geran Penyelidikan Akademik USM, program ini turut mendapat kerjasama SWCorp, AIM dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lak Lok Luar.


Pelbagai aktiviti diisi sepanjang program berlangsung antaranya ceramah kesedaran 3R, strategi pemasaran serta latihan praktikal menghasilkan sabun buku dan sabun cecair yang boleh digunakan sendiri atau dipasarkan kepada komuniti setempat. Hampir sembilan (9) kilogram minyak masak terpakai berjaya diproses menjadi lebih 80 ketul sabun dan lapan (8) liter sabun cecair hasil kreativiti peserta.


Usaha yang dijalanan ini walaupun nampak kecil, namun mampu memberi impak besar terhadap pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan ekonomi keluarga luar bandar. Melalui program ini juga, diharap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa dapat dipertingkatkan di samping membentuk komuniti luar bandar yang lebih berdaya saing, berilmu dan berdikari melalui inovasi hijau.


Program ini juga membuktikan bahawa pendekatan komuniti berasaskan ilmu mampu menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan pemerkasaan ekonomi wanita luar bandar, seiring aspirasi USM sebagai universiti untuk masyarakat (APEX University for Society).
Sumber Laporan & Foto: Nur Fatin Izyan Mohamad Helmi
- Created on .
- Hits: 317