Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

MISI PUSTAKAWAN MUDA PHT CETUS MINAT MEMBACA, SOKONG KESEJAHTERAAN EMOSI PELAJAR

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Ogos 2026 – Usaha memupuk minat membaca, kecintaan terhadap ilmu, kesejahteraan emosi serta kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar dalam kalangan pelajar menjadi fokus Program Misi Pustakawan Muda anjuran Perpustakaan Hamdan Tahir (PHT), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Program bertemakan ‘Pustakawan Lestari Pemangkin Generasi Berilmu’ yang diadakan di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Taqaddum Ilmi, Ketereh pada 19 Ogos lalu itu melibatkan 118 pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 dan merupakan penganjuran sulung program tersebut di luar kampus.

Program tersebut turut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai fungsi dan peranan perpustakaan masa kini serta kerjaya pustakawan sebagai pemudah cara maklumat dan rakan strategik dalam pembelajaran.

Antara pengisian utama program ini ialah ceramah Kenali Perpustakaan dan Peranan Pustakawan yang memperkenalkan fungsi dan evolusi perpustakaan, kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan, selain disusuli kuiz interaktif bagi menggalakkan penyertaan aktif pelajar.

Aspek kelestarian alam sekitar pula diterapkan menerusi sesi Kelestarian dan Amalan Hijau yang memberi pendedahan mengenai isu alam sekitar, konsep amalan hijau serta amalan 3R (Reduce, Reuse and Recycle).

Selain itu, pelajar turut menyertai sesi Biblioterapi dan Terapi Mewarna yang memperkenalkan biblioterapi sebagai salah satu pendekatan untuk menyokong kesejahteraan emosi melalui bahan bacaan bersesuaian, di samping aktiviti mewarna dan kuiz dalam suasana pembelajaran yang santai.

Program ini diharap dapat membina hubungan positif antara pelajar dengan perpustakaan, meningkatkan minat membaca serta memupuk nilai murni dan kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

Penganjuran Misi Pustakawan Muda turut mencerminkan komitmen PHT dalam memperluas peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu yang dinamik serta mendekati komuniti melalui program pendidikan dan khidmat masyarakat.

Sumber Laporan & Foto: Nurul Azurah Mohd Roni

  • Created on .
  • Hits: 57