MITRA SUMBANG 25 KOMPUTER RIBA BANTU MAHASISWA INDIA B40 KAMPUS KESIHATAN USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Julai 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus komited memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua mahasiswa apabila menerima sumbangan 25 unit komputer riba daripada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), untuk diagihkan kepada mahasiswa India daripada golongan B40 di Kampus Kesihatan USM.
Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada usaha MITRA dalam memperkasakan akses pendidikan dalam kalangan masyarakat India melalui penyediaan kemudahan teknologi digital kepada mahasiswa yang memerlukan. Inisiatif tersebut diharap dapat membantu penerima mengikuti proses pembelajaran dengan lebih efektif, di samping memenuhi keperluan akademik yang semakin bergantung kepada penggunaan teknologi digital.

Komputer riba yang disumbangkan akan dimanfaatkan bagi menyokong pelbagai aktiviti akademik termasuk penyediaan tugasan, penyelidikan, pembelajaran dalam talian serta pelaksanaan projek universiti. Kemudahan ini juga dijangka dapat mengurangkan risiko keciciran pembelajaran dalam kalangan mahasiswa kurang berkemampuan akibat kekangan memiliki peranti yang sesuai.

USM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada MITRA atas sumbangan yang diberikan. Keprihatinan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh agenda pemerkasaan pendidikan, memperluas akses kepada teknologi digital serta menyokong pembangunan modal insan yang berdaya saing dan inklusif.

Majlis penyerahan komputer riba kepada mahasiswa terpilih telah disempurnakan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Dewan Persidangan Kampus, Kompleks Pentadbiran Kampus Kesihatan, semalam.
Sumber Laporan & Foto: Zariff Zakwan Zamri
- Created on .
- Hits: 141