MRANTI INTAI PELUANG KOLABORASI BERSAMA HOSPITAL USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Ogos 2023 – Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman menerima kunjungan Ketua Jabatan Healthtech, ‘Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation’ (MRANTI), Dr. Mohd Hazwan Mohd Daut dan deligasi dalam usaha menjalin kerjasama dua hala ke arah menyumbang kepada pembangunan inovasi bagi kemudahan klinikal di hospital pada 27 Julai lalu.
Kunjungan ini antara lain bertujuan mencapai kesepakatan untuk bekerjasama bagi membenarkan beberapa teknologi yang telah dihasilkan oleh penyelidik tempatan diuji di persekitaran hospital.
Selain itu, kelebihan diberikan kepada Hospital USM untuk memilih jenis teknologi yang ingin diuji berpandukan permasalahan yang dikenal pasti untuk ditangani serta tempoh pengujian dijangka mengambil masa enam (6) bulan hingga setahun. Setelah tamat tempoh pengujian, keputusan akan dibuat sama ada ingin meneruskan penggunaan teknologi tersebut atau sebaliknya berdasarkan impak dan hasil yang diperoleh.
MRANTI turut menyediakan tawaran bantuan dalam menaik taraf idea dan hasil inovasi yang telah dijalankan di Hospital USM. Kedua-dua belah pihak turut bersetuju untuk kekal komited dalam memastikan usaha ini memberi manfaat kepada semua pihak.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Klinikal, Profesor Dr. Zaidi Zakaria serta wakil-wakil unit yang terlibat termasuk Unit Klinikal, Unit Kejururawatan dan Unit Perubatan Pemulihan.
Sumber Laporan/ Foto: Dr. Nurul Sakinah Zabidi Azhar
- Created on .
- Hits: 361