MUSTAFA-HIVE: INOVASI PENYELIDIK USM JADI PEMANGKIN SOSIOEKONOMI DI KELANTAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Ogos 2025 – Industri kelulut bukan sekadar pertanian kecil-kecilan tetapi satu ekosistem yang boleh menghubungkan inovasi, kelestarian alam sekitar dan ekonomi rakyat Malaysia.

Industri ternakan kelulut kini muncul sebagai pemacu baharu pembangunan sosioekonomi masyarakat menerusi Program Sejati Madani di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM). Melalui program tersebut, ICU telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada beberapa persatuan penduduk terpilih bagi membangunkan ladang penternakan kelulut serta penghasilan rumah kelulut lestari.

Projek penternakan kelulut dan penghasilan teknologi MUSTAFA-Hive, hasil inovasi penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Zulkifli Mustafa turut mendapat jemputan untuk mempamerkan produk komuniti sempena Program Madani Rakyat Kelantan 2025 yang berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 7 hingga 9 Ogos lalu.

Dr. Mohd Zulkifli turut berpeluang memberi penerangan kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai potensi madu kelulut sebagai produk bernilai tinggi yang mampu menjana pendapatan mapan kepada rakyat.

Teknologi MUSTAFA-Hive yang direka berasaskan prinsip kelestarian, membolehkan pemeliharaan koloni kelulut secara lebih efisien, mengurangkan risiko penyakit serta meningkatkan hasil madu berkualiti. Pendekatan ini sejajar dengan agenda Madani dalam memperkasa ekonomi komuniti dan mengoptimumkan sumber tempatan secara lestari.

Dengan sokongan kerajaan melalui Program Sejati Madani, industri kelulut di Kelantan dijangka terus berkembang sebagai medium baharu untuk pembangunan sosioekonomi rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Mohd Zulkifli Mustafa
- Created on .
- Hits: 253