MYPHT 2025: PLATFORM TINGKAT KESEDARAN PERKHIDMATAN PHT DAN TARIK MINAT PENGGUNA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 November 2025 – Sebagai inisiatif tahunan untuk menghargai serta meraikan para pelanggan yang sentiasa menyokong perkhidmatan perpustakaan, Perpustakaan Hamdan Tahir (PHT), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Program MyPHT 2025 pada 10 hingga 13 November lalu.


Bertemakan ‘One Library, Many Stories: PHT for All’, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran berkaitan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan, di samping memperkukuh hubungan mesra antara staf perpustakaan dan pengguna. Ia juga menjadi platform untuk mendapatkan maklum balas secara terus bagi memastikan penambahbaikan berterusan dapat dilaksanakan, seterusnya menarik minat warga kampus menggunakan perpustakaan secara optimum.


Antara aktiviti yang menjadi tumpuan dalam program ini ialah Sesi Telaah – Bicara Pena Seorang Komando, menampilkan seorang staf Kampus Kesihatan USM, Noor Kamarudin Yaakub, yang juga bekas komando serta penulis buku berkisahkan perjalanan hidup beliau dalam pasukan elit tersebut. Dalam sesi ini, beliau berkongsi pengalaman mendalami dunia ketenteraan, nilai ketahanan diri, disiplin serta cabaran yang membentuk kekuatan mental dan peribadi.

Peserta turut didedahkan kepada proses kreatif beliau dalam menterjemah pengalaman lasak ke dalam bentuk penulisan yang menarik dan bermakna. Sesi interaktif ini memberikan ruang kepada pelanggan untuk bertanya soalan, memahami teknik penulisan dan menelusuri kisah sebenar seorang komando secara lebih dekat. Perkongsian ini bukan sahaja memperkaya minda peserta tetapi juga meningkatkan keterlihatan bakat penulisan warga USM.

Selain itu, pelbagai aktiviti lain seperti Cabaran Hiasan Kek, Cabaran Kuiz Hijau, Cabaran Teroka Di Mana?, ‘DIY @The Library’, ‘Research On The Go’ (ROTG), ‘Shelf Pro’ dan Jom Cari Buku berjaya mewujudkan suasana interaktif, santai dan inklusif untuk semua lapisan pengguna.

Program ini dipercayai memberi impak positif dengan mengeratkan hubungan bersama pelanggan, meningkatkan kepercayaan terhadap perkhidmatan yang disediakan di PHT serta memaparkan peranan aktif perpustakaan dalam menyokong pembelajaran dan penyelidikan. Melalui promosi yang inklusif dan penglibatan staf secara langsung, imej perpustakaan sebagai jabatan mesra pelanggan dan terbuka turut diperkukuh, sejajar dengan komitmen menyediakan perkhidmatan terbaik kepada komuniti kampus.
Sumber Laporan & Foto: Nurul Azurah Mohd Roni
- Created on .
- Hits: 165