Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

MYSTOP 2.0: INTERVENSI CEGAH PRADIABETES DALAM KALANGAN PENDUDUK LUAR BANDAR

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Oktober 2025 - Pradiabetes adalah keadaan kesihatan yang mungkin akan berlaku pada individu tanpa disedari sebelum mereka menghidap penyakit kencing manis yang akhirnya boleh membawa kepada penyakit diabetes kekal.

1000188196

Pradiabetes bukan lagi digelar sebagai penyakit tetapi ianya merupakan tanda amaran bahawa seseorang itu akan mempunyai penyakit diabetes tahap dua (2) terutamanya mereka yang mempunyai masalah berat badan atau obesiti.

1000188198

Menyedarinya, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif menganjurkan program ‘Saya Tak Okay Dengan Pradiabetes (MySTOP) Siri 2.0’ di Masjid Kubang Bemban, Pasir Mas pada 10 Oktober lalu.

1000188202

MYSTOP merupakan program intervensi yang dijalankan selama tiga (3) bulan bagi mensasarkan penduduk luar bandar yang berpendapatan rendah di negeri Kelantan yang mempunyai masalah berat badan dan pradiabetes.

1000188200

Program yang mendapat kerjasama daripada Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pasir Mas, Klinik Kesihatan Bandar (KKB) Pasir Mas, Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Jawatankuasa Masjid Kubang Bemban ini melibatkan saringan awal prediabetes diikuti dengan program intervensi selama 12 minggu yang melibatkan kombinasi kaedah modifikasi tingkah laku, pendidikan pemakanan sihat, program senaman regangan dan program 10,000 langkah sehari selama tiga (3) bulan.

Pelbagai aktiviti lain turut dijalankan seperti saringan kesihatan Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN), pameran kesihatan mengenai pencegahan penyakit kronik, 'booth' diet chit chat untuk kaunseling pemakanan dan banyak lagi.

1000188194

Program ini diharap memberi banyak faedah kesihatan dan meningkatkan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah sebaga usaha melakukan pencegahan diabetes kekal dalam kalangan mereka yang obesiti dan mempunyai paras gula sempadan (borderline) kepada diabetes.

Hadir menyempurnakan penutupan program ini ialah Timbalan Pengarah (Klinikal) Hospital Pakar USM (HPUSM), Profesor Dr. Zaidi Zakaria. Turut hadir ialah Imam Muda Masjid Mukim Kubang Bemban, Pasir Mas, Muhammad Tolhah Mohd Arif; Ketua Perkhidmatan Jaringan Komuniti HPUSM, Dr. Norhayati Mohamad; Pegawai Kesihatan Epidemiologi, PKD Pasir Mas, Dr. Aliff Ridzwan dan Pengarah Program MYSTOP Siri 2.0, Profesor Dr. Rohana Abdul Jalil.

Sumber Laporan & Foto: Profesor Dr. Rohana Abdul Jalil.

 

  • Created on .
  • Hits: 203