NAIB CANSELOR TINJAU KAFE MENTARI, PROGRAM REHABILITASI PSIKIATRI HPUSM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Februari 2026 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, hari ini, meluangkan masa meninjau operasi Kafe Mentari, salah sebuah kafeteria di Hospital Pakar USM (HPUSM) yang menyediakan pelbagai pilihan makanan serta minuman kepada warga kerja serta pengunjung.

Menariknya, Kafe Mentari dioperasikan oleh pelatih-pelatih bekas pesakit Jabatan Psikiatri HPUSM yang merupakan sebahagian daripada modul rehabilitasi mereka sebagai persediaan sebelum kembali ke pangkuan masyarakat selepas menerima rawatan.

Program rehabilitasi psikiatri ini berperanan sebagai sebahagian daripada pendekatan pemulihan holistik pesakit, khususnya dalam membantu meningkatkan kemahiran sosial, keyakinan diri serta persediaan ke arah kehidupan bermasyarakat.

Kafe Mentari bukan sahaja menyokong keperluan kebajikan warga hospital, malah mencerminkan komitmen USM dan HPUSM dalam mewujudkan persekitaran mesra pesakit yang menyokong kesejahteraan mental dan fizikal secara menyeluruh.

Abdul Rahman turut berharap agar inisiatif seumpama ini dapat diteruskan dan diperkasa sebagai sebahagian daripada usaha universiti dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan, latihan klinikal serta penglibatan komuniti selaras dengan peranan HPUSM sebagai hospital pengajar dan pusat rujukan di Pantai Timur.


Hadir sama dalam lawatan ini ialah Timbalan Pengarah (Klinikal) HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian) HPUSM, Profesor Dr. Shatriah Ismail; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud dan Ketua Jabatan, Jabatan Psikiatri HPUSM, Profesor Madya Dr. Maruzairi Husain.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Unit Fotografi UKAST
- Created on .
- Hits: 178